Ahad, 10 Julai 2011

Tema dan Persoalan Novel "Di Sebalik Wajah"

TEMA

Novel ini bertemakan ketabahan seorang remaja menghadapi dugaan dan kekurangan diri dalam kehidupan seharian.

Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar, terpaksa berhadapan dengan ejekan, sindiran dan cemuhan daripada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Dia juga dibuli dan dianiaya oleh Narius, Jais dan Jamadi. Kawan-kawan baiknya juga telah memulaukannya sewaktu dia difitnah mencuri buku-buku di perpustakaan dan dompet pelajar lain. Hanya Josy sahaja yang terus setia untuk berkawan dengan Doktor Farid sewaktu dia dalam kesusahan.


PERSOALAN

1. Persoalan semangat setiakawan
Contoh: Josy tetap berkawan dengan Doktor Fikri walau apa-apa jua rintangan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

2. Persoalan Kasih sayang sesama ahli keluarga
Contoh: Cikgu Saiful dan Puan Halipah memberikan sepenuh kasih sayang kepada Doktor Fikri walaupun dia dilahirkan dalam serba kekurangan.

3. Persoalan reda menerima ketentuan Allah
Contoh: Cikgu saiful dan Puan Halipah reda dan pasrah menerima takdir Tuhan apabila anak yang dilahirkan cacat iaitu balar kulitnya.

4.Persoalan rajin membaca
Contoh: Doktor Fikri sentiasa mengisi masa lapangnya dengan membaca dan kerap pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku.

5.Persoalan menghargai persahabatan
Contoh: Josy tetap berkawan dengan Doktor Fikri walau apa jua rintangan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

6.Persoalan keinsafan
Contoh: Narius, Jais dan Jamadi berubah sikap dan insaf atas kesalahan mereka terhadap Doktor Farid, lebih-lebih lagi setelah Doktor Farid menyuruh bapanya menjamin Narius di balai polis.

7.Persoalan aplikasi Ilmu
Contoh: Doktor Farid mengaplikasi pengetahuan menanam sayur-sayuran, memelihara ayam dan menjualnya di Tamu daripada mata pelajaran Kemahiran Hidup yang dipelajarinya.

8.Persoalan kemahiran menguasai ilmu elektronik
Contoh: Kemahiran menguasai ilmu elektronik perlu diterapkan pada peringkat awal pendidikan lagi seperti yang dijalankan di Jepun bagi memastikan remaja lebih ke arah inovasi.

9.Persoalan berdikari
Contoh: Doktor Farid berusaha sendiri untuk mencapai cita-cita yang diinginkannya walaupun mendapat tentangan awal daripada ayahnya. Doktor Fikri berjaya mengusahakan kebun sayur dan membela ayam.

10.Persoalan taat akan perintah agama
Contoh: Cikgu Saiful dan keluarganya sering sembahyang bersama-sama di rumah.

Sinopsis Novel "Di Sebalik Wajah"

Cerita Di Sebalik Wajah mengisahkan seorang remaja iaitu Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar. Nama Doktor Fikri diberikan oleh bapanya sempena nama seorang doktor yang telah mendoakan keselamatan ibunya sewaktu melahirkannya. Disebabkan nama dan kecacatan kulitnya yang balar Doktor Fikri sering diejek dan diketawakan. Namun begitu, dia tabah menerima segala dugaan yang menimpa dirinya. Pertukaran ke sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal banyak memberikan pengalaman baharu kepadanya. Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz dapat menerima kehadirannya di sekolah itu. Mereka berkawan baik sehinggalah Doktor Fikri dianiaya oleh tiga orang murid iaitu Narius, Jais dan Jamadi yang juga sering mengganggu murid lain.

Satu laporan salah laku mereka telah dibuat kepada guru disiplin iaitu Cikgu Wahab. Hal ini menyebabkan mereka berdendam kepada Doktor Fikri. Narius dan kawan-kawannya meletakkan buku-buku perpustakaan dan beberapa dompet ke dalam beg sekolah Doktor Fikri. Guru disiplin telah membuat pemeriksaan mengejut ke setiap kelas. Doktor Fikri telah dipanggil dan disoal siasat namun dia hanya mendiamkan diri. Selepas kejadian tersebut, kawan-kawannya mula menjauhkan diri kecuali Josy yang masih setia memberikan perangsang dan semangat serta memintanya bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Semasa sukan tahunan sekolah, Doktor Fikri gagal menamatkan larian 1500 meter dan pengsan. Dia juga kehilangan basikal yang baru dibeli dengan duit simpanannya sendiri. Pada suatu hari seorang murid mengadu kepada Cikgu Wahab bahawa dia ternampak Narius dan rakan-rakannya mencuri basikal doktor Fikri. Hal ini dilaporkan ke balai polis. Narius dan rakan-rakannya ditangkap atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Mereka ditahan di lokap. Jais dan Jamadi dijamin oleh keluarga masing-masing. Narius tidak dapat dibebaskan kerana keluarganya miskin. Doktor Fikri dan bapanya dipanggil untuk mengambil semula basikalnya. Semasa di balai polis, Doktor Fikri ternampak Narius sedang menangis di samping bapanya yang sudah uzur. Doktor Fikri meminta ayahnya menjamin Narius.

Semenjak hari itu, Narius, Jais dan Jamadi insaf dan berubah menjadi baik. Mereka mengaku kepada murid lain bahawa merekalah yang menganiaya Doktor Fikri. Namun, pada masa yang sama, Doktor Fikri berhijrah ke Jepun kerana bapanya bertugas di sana. Setelah setahun, Doktor Fikri dan keluarganya balik bercuti di Malaysia. Kepulangan Doktor Fikri disambut dengan gembira oleh rakan-rakannya. Keluarga Doktor Fikri mengisi cuti mereka dengan bersama-sama mendaki puncak Gunung Kinabalu seperti yang dihasratkan oleh Doktor Fikri.

Contoh soalan & Jawapan bagi Tema dan Persoalan Novel "Di Sebalik Wajah"

Sekiranya pelajar ditanya tentang tema dan persoalan.. contohnya.."huraikan tema dan dan dua persoalan berdasarkan novel yang anda pelajari"

Di sini, cikgu sertakan contoh jawapan yang boleh pelajar gunakan sebagai panduan.


Novel yang telah saya pelajari ialah novel "Di Sebalik Wajah" karya Abang Saifuddin Abang Bohari.Dalam novel ini,terdapat tema dan beberapa persoalan yang telah diketengahkan oleh pengarang.

Novel ini bertemakan ketabahan dan kecekalan seorang remaja balar menghadapi cabaran dalam kehidupan. Dalam hal ini Doktor Fikri begitu cekal dan tabah menghadapi ejekan daripada pelajar lain sama ada di sekolah lama atau baru. Doktor Fikri juga cekal ketika berhadapan dengan tuduhan bahawa dia seorang pencuri sehingga peristiwa itu menyebabkannya kehilangan kawan-kawan. Selain itu, Doktor Fikri tabah dan cekal apabila dia sering ditertawakan dan dipandang rendah oleh para pelajar hanya kerana dia tidak sempurna seperti orang lain. Dengan ketabahan dan kecekalannya itu, akhirnya dia berjaya memenangi hati kawan-kawan dan dia tidak lagi hidup keseorangan.

Antara persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan tentang kasih sayang dalam keluarga. Contohnya, Puan Halipah dan Cikgu Saiful amat menyayangi anak mereka iaitu Doktor Fikri. Cikgu Saiful misalnya cuba memenuhi setiap permintaan Doktor Fikri kerana tidak mahu anaknya berasa rendah diri dengan kekurangannya. Sebagai buktinya, walaupun Cikgu Saiful tidak setuju dengan cadangan Doktor Fikri untuk menanam dan berjual sayur, namun akhirnya dia akur dengan kehendak anak tunggalnya itu. Cikgu Saiful sanggup menebalkan telinga dan menahan malu dengan rakan-rakan sepejabatnya demi kasih sayang ayah terhadap anaknya.

Persoalan yang seterusnya ialah persoalan tentang kebijaksanaan memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah. Doktor Fikri bijak menggunakan masa dengan melakukan pelbagai aktiviti berfaedah. Dia menjadikan buku, majalah, novel dan pelbagai bahan bacaan sebagai temannya. Selain itu, dia turut menggunakan masa lapang dengan bertanam sayur dan menternak ayam. Hasil daripada hobinya, Doktor Fikri memperoleh pendapatan daripada jualan sayur-sayuran.

Pengajaran dalam Novel "Di Sebalik Wajah"

Berdasarkan novel Di Sebalik Wajah, pengajarannya ialah :

kita harus tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Contohnya sebagai anak balar yang cacat dari segi kulit, Doktor Fikri sentiasa tabah dan sabar ketika diejek, disindir malah dianiaya oleh murid lain.

Pengajaran yang seterusnya ialah kita harus sedia memaafkan kesalahan orang lain. Contohnya Doktor Fikri sedia memaafkan Narius yang pernah memeras ugut terhadap malah meminta ayahnya membantu Narius keluar dari lokap polis dengan membayar wang ikat jamin.

Selain itu, kita perlu rajin untuk mengusahakan sesuatu kerja. Contohnya Doktor Fikri mengerjakan kebun sayur-sayurannya di belakang rumah pada setiap petang. Dia sanggup mengutip najis lembu sebagai baja. Selain itu dia juga menjualkan hasil tanaman di tamu.

Bukan itu sahaja, terdapat pengajaran tentang kita perlu bertanggungjawab terhadap kerjaya kita. Misalnya kakitangan Hospital Ratu Elizabelt dapat menjalankan tugas dengan baik.

Di samping itu, kita perlu berjimat cermat dalam kehidupan kita. Doktor Fikri sentiasa berjimat cermat dan membawa bekalan ibu ke sekolah tanpa berbelanja di kantin. Wang simpanan mencapai seribu ringgit di bank. Dia dapat membeli basikal barunya dengan wang simpanan sendiri.

Tambahan pula, terdapat pengajaran kita harus hormat dan taat kepada ibu bapa. Contohnya, Doktor Fikri sentiasa mematuhi perintah ibu bapanya. Dia juga meminta kebenaran ibu bapanya dahulu sebelum bertindak, seperti membeli basikal dengan wang simpanan sendiri.

Pengajaran lain ialah ibu bapa harus mengambil berat pelajaran anak mereka. Contohnya ketika Doktor Fikri, ibunya Puan Halipah pasti akan memeriksa buku latihan dan bertanya tentang pelajarannya di sekolah.

Terdapat pengajaran tentang ibu bapa harus menerima kelahiran anak yang tidak sempurna dari segi fizikal. Tamsilnya pada mula Cikgu Saiful sukar menerima bayinya agak berbeza dengan bayi yang lain, anaknya ialah anak balar. Bagaimanapun atas nasihat doktor, dia telah menyesal atas sikapnya dan sedia menerima bayi yang cacat dari segi kulit.

Nilai dalam Novel "Di Sebalik Wajah"

Rajin
Salah satu nilai dalam novel ini adalah rajin. Watak utama Doktor Fikri merupakan seorang budak yang rajin. Dia sanggup menanam sayur-sayuran dan menjual hasilan tanaman di tamu. Dia juga tekun membaca buku.

kasih sayang
Kasih sayang jelas terpapar dalam watak Cikgu Saiful dan Puan Halipah. Mereka sangat sayang akan anak kandung mereka dan sentiasa memenuhi kehendak anak kesayangan. Sebagai contoh, Cikgu Saiful sanggup menemani anak mengutip najis lembu sebagai baja sayur-sayuran ketika diminta oleh anak mereka.

Tabah
Doktor Fikri merupakan seorang pelajar yang tabah. Dia sabar menghadapi layanan rakannya yang telah salah faham akannya. Dia sentiasa tabah menghadapi layanan yang buruk daripada murid yang lain.

Sedia memaafkan
Doktor Fikri mengamalkan nilai sedia memaafkan dan tidak menaruh dendam terhadap orang yang pernah menganiayainya, iaitu Narius yang meletakkan barang dicurinya ke dalam beg Doktor Fikri. Doktor Fikri bukan memaafkan Narius malah meminta ayahnya mengikat jamin terhadap Narius kerana terlibat dalam kes kecurian.

Simpati
Doktor Fikri bersikap simpati terhadap nasib Narius, iaitu keluarganya miskin, bapanya sudah tua dan tidak mampu mengikat jaminnya keluar dari lokap. Doktor Fikri segera meminta ayahnya menghulurkan bantuan.

Bertanggungjawab
Kakitangan perubatan di Hospital Ratu Elizabelt menjalankan tugas dengan bertanggungjawab. Mereka melayani keluarga pesakit dengan mesra. Hal ini terpapar oleh jururawat Cina yang membenarkan Cikgu Saiful mengucapkan nazar kepada anaknya yang dilahirkan. Doktor yang berketurunan India juga menjalankan tugas dengan amanah. Selain itu pengetua SMK Menggatal sanggup merotan pelajar yang terlibat dalam kes peras ugut di dewan sekolah. Cikgu Wahab juga melaksanakan tugasnya sebagai guru disiplin dengan tegasnya.

Berjimat cermat
Doktor Fikri sentiasa berjimat cermat. Dia sentiasa membawa bekalan emaknya ke sekolah daripada berbelanja di kantin untuk menjimatkan wang.

Alim
Doktor Fikri di Hospital Ratu Elizabelt merupakan seorang yang alim dan bersopan santun. Ketika melihat Cikgu Saiful dalam keadaan yang gelisah, dia turut mengajak Cikgu Saiful menjalankan solat sembahyang di bilik surau di hospital tersebut. Sikapnya yang mulia turut menyebabkan Cikgu Saiful hendak menamai anak lelakinya sebagai “Doktor Fikri”.

Gigih
Nilai gigih juga terdapat dalam Doktor Fikri. Ketika menyertai acara lumba lari 1500 lelaki B, dia tidak berputus asa walaupun lututnya sakit dan berasa sukar bernafas. Bagaimanapun dia jatuh pengsan ketika mendekati garis penamat.

Selain itu ketika mendaki Gunung Kinabalu, Doktor Fikri dan ibu bapanya tidak berpatah semangat untuk meneruskan pendakian walaupun berasa penat, sejuk, susah bernafas serta kaki yang sakit.

Latar Tempat Novel "Di Sebalik Wajah"

Hospital Ratu Elizabelt, Kota Kinabalu
Peristiwa yang berlaku di latar tempat ini ialah Cikgu Saiful berasa cemas ketika berada di luar bilik bersalin. Dia berdoa agar anak dan isteri akan selamat setelah agak lama isteri dihantar ke dalam bilik bersalin. Di situ, dia bertemu dengan seorang doktor Melayu yang bernama Doktor Fikri yang berbudi bahasa dan alim sehingga dia berhasrat untuk menamai anak yang bakal dilahirkan itu sebagai “Doktor Fikri”. Yang terpenting ialah anak Cikgu Saiful dan Puan Halipah telah melahirkan seorang anak balar di hospital itu. Penulis itu menggambarkan satu latar masyarakat dalam latar tempat ini, iaitu masyarakat yang berbilang bangsa, iaitu doktor yang berketurunan India, Melayu dan jururawat yang berbangsa Cina.

Rumah Doktor Fikri
Rumah Doktor Fikri terletak di 69, Taman Richdar, Menggatal, iaitu sebuah rumah yang berdua tingkat. Rakan sekolah telah mengunjungi rumahnya dan disambut mesra oleh Puan Halipah di ruang tamu. Di bilik bacaan, mereka ternampak banyak buku yang ada di dalam rak. Mereka juga meminjam buku daripada Doktor Fikir. Di belakang rumah Doktor Fikri, dia menanam pelbagai jenis sayur seperti sawi, kacang bendi, tomato, cili dan menternak ayam. Dia telah membawa rakannya mengunjungi kebun sayurnya. Doktor Fikri sanggup mengutip tahi lembu sebagai baja tanamannya. Dia menjual hasil tanamannya di tamu dan menyimpan wang dalam bank.

Tempat yang penting dalam latar tempat ini ialah belakang rumah, bilik bacaan, ruang tamu, dapur.


Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
SMK Menggatal merupakan latar tempat yang terpenting dalam perkembangan plot. Di situ, Doktor Fikri menuntut pelajaran. Dia merupakan pelajar kelas Dua Mawar. Dia mendapat banyak kawan baru, iaitu Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz. Dia juga menyertai lumba lari 1500 Lelaki B sehingga jatuh pengsan dalam beberapa langkah sebelum garis penamat. Dia sering mengunjungi perpustakaan di sekolah dan suka membaca buku di situ, Bagaimanapun dia turut dianiayai oleh pelajar samseng yang membuat dakwaan bahawa dia telah mencuri pen, buku perpustakaan, dompet dan sebagainya.

Antara tempat yang penting di sekolah itu ialah kelas Dua Mawar, pagar sekolah, padang, perpustakaan, dewan, bilik kaunseling.

Tamu di Pekan Menggatal
“Tamu” merupakan pasar minggu yang lazimnya terdapat di pekan-pekan Sabah. Lazimnya penduduk peribumi, iaitu orang Dusun dan Kadazan akan membawa hasil tanaman mereka di tamu untuk dijual di samping bertemu dengan kawan.

Doktor Fikri dan lima orang rakannya telah membawa sayur-sayuran ke tamu di pekan untuk dijual. Pada awal pagi, mereka telah tiba di situ. Mereka meletakkan sayur-sayuran di atas tikar di tepi jalan untuk dijual. Ada seorang wanita telah membeli seringgit sayur sawi. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Mereka terpaksa berteduh di kaki lima kedai. Sayur-sayuran itu tidak dapat dijual. Walaupun hanya mendapat hasil jual sebanyak seringgit sahaja, Doktor Fikri masih sabar dan menasihati rakannya bahawa dalam ilmu perdagangan, untung dan rugi adalah lumrahnya.


Balai Polis Pekan Menggatal

Doktor Fikri dan ayahnya Cikgu Saiful telah ke Balai Polis Pekan Menggatal untuk mengambil balik basikal yang telah dicuri. Di situ, Doktor Fikri telah menjumpai Narius telah ditahan di dalam lokap. Narius menangis kerana ayahnya yang tua tidak mampu mengeluarkan wang untuk mengikat jaminnya keluar dari balai polis. Doktor Fikri segera merayu ayahnya untuk mengikat jamin terhadap Narius walaupun Narius pernah memeras ugutnya, mencuri basikal baharunya dan menganiayainya, iaitu sengaja memasukkan barang yang dicuri ke dalam begnya.


Lapangan Terbang Antarabansa Kota Kinabalu

Doktor Fikri dan ibu bapa balik dari Osaka, Jepun. Mereka tiba di lapangan itu dan disambut oleh rakannya,Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz. Setelah setahun berpisah, mereka gembira dapat bertemu semula.

Gunung Kinabalu
Doktor Fikri dan ibu bapanya telah menginap di sebuah chalet di Taman Negara Kinabalu. Udara di situ sungguh nyaman malah dingin dan terdapat pemandangan yang mempesonakan, iatu Gunung Kinabalu yang tinggi dan tersergam serta kaya dengan flora yang unik. Ketika tiba di tengah lereng gunung itu, iaitu Panalaban, mereka bermalam di situ dan akan meneruskan pendakian gunung pada keesokan subuh pagi. Bagaimanapun pada malam itu, Doktor Fikri bermimpi dan mengigau sehingga terjatuh dari katil.

Latar Masa Novel "Di Sebalik Wajah"

Latar masa dalam novel Di Sebalik Wajah ialah zaman moden atau zaman sekarang, iaitu berlaku pada tahun 1990-an dan 2000-an.

Latar masa pagi

Salah satu peristiwa yang berlaku pada waktu pagi ialah lima orang rakan Doktor Fikri telah datang ke rumahnya pada awal pagi. Mereka membantu Doktor Fikri membungkus sayur-sayuran lalu mengayuh basikal ke tamu untuk dijual.

Selain itu, pada waktu pagi hari kedua belajar di SMK Menggatal, Doktor Fikri menunggang basikal baharunya ke sekolah. Dia terlewat dan pintu pagar telah terkunci. Akhirnya Cikgu Wahad telah memberikan amaran kepadanya supaya tidak lewat ke sekolah lalu membuka pintu untuknya.

Seterusnya, pada suatu pagi, Doktor Fikri dan ibu bapanya bangun dengan awal kerana hendak mendaki gunung. Oleh sebab terlalu sejuk, mereka tidak mandi lalu mengemaskan semua bekalan untuk menaiki sebuah lori ke kaki bukit.

Latar masa petang

Peristiwa yang berlaku pada waktu petang ialah lima orang rakan Doktor Fikri telah melawat ke rumahnya yang dua tingkat. Mereka telah dibawa ke bilik bacaan Doktor Fikri. Mereka juga mengunjungi kebun sayur-sayuran Doktor Fikri di belakang rumah. Mereka bergurau senda di situ.

Salah satu peristiwa yang berlaku pada waktu petang ialah sebulan menjelang hari sukan tahunan sekolah, setiap petang Doktor Fikri dan rakan-rakannya akan pergi ke sekolah untuk menjalani latihan sukan. Pada suatu petang, dalam perjalanan ke sekolah, Doktor Fikri ditahan oleh tiga orang pelajar Tingkatan Empat kerana mereka mengugutnya supaya membayar wang keselamatan.

Selain itu, pada suatu petang, Doktor Fikri dan ayahnya telah pergi ke balai polis untuk mengambil balik basikalnya yang telah dicuri. Di situ dia ternampak ayah Narius yang tua dan tidak mampu mengikat jamin Narius kerana keluarga mereka yang miskin.

Latar masa malam

Peristiwa yang berlaku pada waktu malam ialah Doktor Fikri telah bermimpi ngeri sehingga dia mengigau. Dia bermimpi bahawa dia tersesat jalan ketika mendaki gunung lalu bertempur dengan seorang naga. Untuk mengelakkan serangan naga dia terjatuh ke gaung. Akibatnya dia menjerit sehingga menjagakan ibu bapanya.

Perkembangan Plot Novel "Di Sebalik Wajah"

Permulaan

Dalam bahagian permulaan, Cikgu Saiful kelihatan cemas ketika menunggu kelahiran anak di luar bilik salin Hospital Ratu Elizabelt. Dia mengimbas kembali tentang peristiwa isterinya mengidamkan daging rusa dan dia terpaksa berbohong kepada isterinya bahawa sup daging arnab yang dibelinya ialah daging rusa. Ketika bersembahyang di bilik surau hospital, dia bertemu dengan seorang doktor Melayu yang bersikap sopan dan mulia. Oleh itu Cikgu Saiful ingin menamai anak yang bakal lahir itu sama dengan doktor itu, iaitu Doktor Fikri. Kemudian, Cikgu Saiful tidak dapat menerima anaknya dilahirkan balar. Bagaimanapun atas nasihat doktor dan jururawat, Cikgu Saiful baru sedar dan sebagai seorang penganut Islam, dia perlu reda atas segala takdir Tuhan. Akhirnya Cikgu Saiful dan isterinya Puan Halipah reda menerima anak mereka yang cacat dari segi kulit.



Perkembangan

Dalam bahagian perkembangan plot, ketika berumur 14 tahun, Doktor Fikri terpaksa dipindahkan ke sekolah baru, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal kerana bapanya telah berhenti sebagai guru dan bekerja di Pekan Menggatal. Ketika belajar di kelas Tingkatan Dua Mawar, Doktor Fikri tabah menerima kerenah rakan sekelasnya. Dia sentiasa membaca pada masa lapang. Dia telah berkawan dengan Josy, Suriani, Dayang Mahani, Sanin dan Aziz. Mereka kagum akan sikap Doktor Fikri yang rajin membaca, sanggup menanam sayur-sayuran dan menternak ayam di belakang rumah serta menjual sayur-sayur di tamu pada pagi hari Ahad.

Seterusnya wujudlah konflik antara Doktor Fikri dengan Narius dan kawan-kawannya, iaitu pelajar Tingkatan Empat. Narius dan kawannya telah memeras ugut supaya membayar wang keselamatan kepada mereka. Setelah dilaporkan rakan Doktor Fikri, pihak sekolah telah bertindak tegas terhadap Narius dan rakan-rakannya dengan merotan di dewan secara terbuka. Setelah itu Naruis dan rakan telah menganiayai Doktor Fikri dengan meletakkan buku-buku perpustakaan dan barang-barang pelajar lain di dalam beg sekolah Doktor Fikri. Ketika disiasat oleh Cikgu Wahad, Doktor didakwa sebagai pencuri.

Konflik yang seterusnya ialah Doktor Fikri dengan kawan-kawan baiknya kecuali Josy. Setelah didakwa sebagai pencuri, rakan-rakan sekelas Doktor Fikri mula memulaukannya. Mereka bukan sahaja mengejek malah enggan bermain atau berbual dengannya. Dia berasa kecewa dan kesunyian.



Perumitan

Pada hari sukan, Doktor Fikri telah menyertai lumba lari 1500 meter. Dia gigih berlari tanpa sokongan rakannya. Sebelum garis tamat, dia jatuh pengsan. Setelah terjaga, ibu bapanya hendak menghantarnya balik dan mendapati bahawa basikal barunya telah dicuri orang.

Rakan-rakannya tetap memulaukannya dan tidak bersimpati tentang kecurian basikalnya. Doktor Fikri bertambah kekecewaan kerana Josy akan berpindah ke sekolah lain.



Puncak

Dalam bahagian puncak perkembangan plot, Doktor Fikri diberitahu oleh Cikgu Wahad bahawa pelajar yang mencuri basikalnya telah ditangkap oleh polis. Mereka ialah Narius dan rakan-rakannya. Mereka juga mengakui bahawa merekalah yang menganiayai Doktor Fikri sebagai pencuri. Ketika di balai polis, Doktor Fikri bersimpati terhadap Narius dan meminta ayahnya menjamin Narius keluar dari lokap. Narius meminta maaf dan berterima kasih kepada Doktor Fikri dan ayahnya. Beberapa hari kemudian, seluruh kelas Tingkatan Dua Mawar tergempar kerana Doktor Fikri telah berpindah ke Jepun dan mereka turut diberitahu oleh Narius bahawa Doktor Fikri tidak pernah mencuri tetapi dianiayai oleh mereka. Rakan-rakan Doktor Fikri berasa sedih atas perbuatan mereka terhadap Doktor Fikri dan kemuliaan hatinya.



Peleraian

Dalam bahagian peleraian cerita, setelah satu tahun, Doktor Fikri dan ibu bapanya balik bercuti di Sabah. Rakan-rakan baiknya menyambut kepulangannya di lapangan terbang. Hubungan mereka bertambah mesra. Setelah itu, atas permintaan Doktor Fikri, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Novel ini diakhiri dengan ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.

Watak dan Perwatakan Watak sampingan Novel "Di Sebalik Wajah"

Cikgu Saiful

Cikgu Saiful merupakan suami Halipah dan ayah kepada Doktor Fikri. Dia merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tuaran, Sabah. Bagaimanapun dia telah meletakkan jawatan sebagai guru dan berkhidmat di sektor swasta.

Cikgu Saiful merupakan seorang suami yang taat setia dan penyayang. Ketika isterinya Halipah mengandung, dia telah mencari daging rusa di persekitaran Kota Kinabalu demi memenuhi permintaan isterinya. Dia juga kelihatan cemas dan risau ketika isterinya berada di wad bersalin.

Cikgu Saiful juga merupakan seorang ayah yang bertanggungjawab dan penyayang. Dia amat sayang akan anak tunggal mereka, iaitu Doktor Fikri. Dia sentiasa mengambil berat pelajaran dan kehendak anaknya. Contohnya dia membenarkan anaknya mempraktikkan Pendidikan Kemahiran Hidup dengan berkebun sayur-sayuran, menternak ayam dan menjual sayur-sayuran, malah dia turut membantu Doktor Fikri mengutip najis lembu di jalan raya sebagai baja sayur-sayuran.

Cikgu Saiful juga seorang yang alim. Dia sentiasa menunaikan solat sembahyang. Ketika anaknya dilahirkan dia segera meminta kebenaran daripada jururawat untuk membaca azan anaknya.

Cikgu Saiful juga mudah insaf akan kesilapannya. Contohnya pada mulanya, dia tidak percaya bahawa bayi yang balar itu adalah cahaya matanya. Setelah ditegur oleh doktor, dia segera insaf akan kesilapannya lalu menerima hakikat tersebut. Dia meminta maaf kepada bayi itu atas kezaliman dan bersyukur atas anugerah Tuhan itu.



Halipah


Halipah ialah isteri kepada Cikgu Saiful dan ibu kepada Doktor Fikri. Dia ialah seorang suri rumah tangga.

Halipah bersifat penyayang. Dia amat sayang akan suami dan anaknya, Doktor Fikri. Dia sentiasa membekalkan makanan kepada anaknya ke sekolah.

Halipah juga seorang ibu yang mengambil berat pelajaran anaknya. Contohnya setiap pentang dia pasti memeriksa buku latihan Doktor Fikri dan menemani anak membuat latihan. Dia berjaya memupuk tabiat membaca kepada anaknya.

Halipah juga seorang yang mesra. Ketika kawan sekelas Doktor Fikri datang ke rumah mereka, Halipah melayani mereka dengan mesra. Makanan dan minum segera dihidangkan.



Josy

Seorang pelajar perempuan di Kelas Dua Melati. Dia merupakan seorang yang mudah bergaul mesra dengan orang lain. Dia sanggup pergi ke Kelas Dua Mawar untuk berinteraksi dengan pelajar baru, iaitu Doktor Fikri.

Josy juga bersikap setia kawan. Dia menaruh kepercayaan yang sepenuh kepada Doktor Fikri ketika Doktor Fikri didakwa sebagai pencuri. Dia sentiasa menasihati Doktor Fikri atas kejadian tersebut.



Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Azik


Mereka merupakan kawan baik kepada Doktor Fikri. Mereka tidak memandang serong terhadap Doktor Fikri yang merupakan budak balar. Mereka telah banyak memberikan bantuan kepada Doktor Fikri.

Bagaimanapun, mereka turut tidak mempercayai Doktor Fikri seperti murid lain apabila Doktor Fikri didakwa sebagai pencuri. Mereka juga mencurigai kawan yang baru ini.



Narius


Narius merupakan murid Tingkatan Empat. Dia berasal daripada keluarga yang miskin dan ayahnya telah manakala adik-beradiknya banyak.

Narius bersifat nakal dan bertindak ganas. Dia dan rakannya, Jais dan Jamadi merupakan gengster di sekolah mereka. Mereka sentiasa membuli murid yang lemah. Mereka sentiasa memeras ugut pelajar yang baru seperti Doktor Fikri. Setelah berguru dengan seorang banduan untuk belajar ilmu silat, sikap bertambah teruk sehingga sanggup mencuri harta di sekolah dan di luar sekolah sehingga dia ditahan oleh pihak polis,

Dia bersikap menaruh dendam terhadap orang lain. Setelah menyangka bahawa Doktor Fikri yang melaporkan kegiatan peras ugut mereka sehingga dirotan oleh pengetua, mereka sanggup menganiaya Doktor Fikri dengan memasukkan barang curian ke dalam beg sekolah Doktor Fikri.

Bagaimanapun, akhirnya dia telah insaf akan kesalahan setalah dibantu oleh Doktor Fikri dan Cikgu Saiful dengan membayar wang ikat jamin dari lokap, Sejak itu, dia menjadi kawan baik Doktor Fikri. Dia sanggup memohon maaf kepada semua pelajar Kelas Dua Mawar kerana telah mencemarkan nama baik kelas mereka dengan memasukkan barang curian ke dalam beg sekolah Doktor Fikri.



Cikgu Wahab

Cikgu Wahab merupakan seorang guru disiplin. Dia merupakan seorang yang bertanggungjawab. Dia bersikap serius ketika berhadap dengan pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Bagaimanapun, dia turut bersikap timbang rasa. Contohnya dia membuka pintu pagar dan membenarkan Doktor Fikri yang lewat ke sekolah kerana tidak tahu waktu persekolahan sekolah barunya.