Isnin, 23 Januari 2012

Watak dan Perwatakan Watak Utama Novel "Di Sebalik Wajah"

Watak Utama : Doktor Fikri

Doktor Fikri ialah seorang budak yang berumur 14 tahun. Dia bukan seorang doktor tetapi diberi nama sebagai Doktor Fikri kerana ketika dilahirkan, bapanya Cikgu Saiful telah menemui seorang doktor yang beriman dan bersopan. Doktor itu bernama Fikri. Cikgu Saiful berharap agar anaknya menjadi seperti doktor itu iaitu memiliki sifat-sifat yang terpuji .

Doktor Fikri merupakan seorang budak cacat dari segi kulit, iaitu balar. Rambutnya kuning emas, kulitnya berwarna merah. Rupanya yang luar biasa menyebabkannya sering diejek dan dipulau oleh rakan sekolahnya.

Doktor Fikri merupakan pelajar yang rajin dan teguh. Contohnya, dia sanggup menanam sayur-sayuran dan menjual hasil tanamannya di tamu. Dia suka membaca buku terutama novel.

Doktor Fikri seorang anak yan hormat serta taat kepada ibu bapa . Contoh, dia sentiasa meminta kebenarann ibu bapanya sebelum bertindak, seperti meminta kebenaran ibunya untuk membeli basikal baru.

Selain itu, dia juga bersikap sabar dan tabah. Misalnya, dia tabah menghadapi layanan yang buruk daripada rakan-rakannya, terutama ketika dia didakwa sebagai seorang pencuri.

Seterusnya, dia juga bersifat simpati dan sedia memaafkan kesalahan orang lain. Contohnya, dia sanggup meminta ayahnya membayar wang jaminan untuk melepaskan Narius yang telah mencuri basikal baharunya dan Narius juga pernah menganiayai Doktor Fikri sehinga dia dianggap sebagai pencuri. Namun, Doktor Fikri tidak pernah menaruh dendam kepada mereka yang menganiayainya.

Di samping itu, dia juga bersikap gigih untuk menghadapi cabaran, dia tetap hendak meneruskan larian dalam acaranya 1500 meter Lelaki B walaupun dia berasa sesak nafas dan kakinya sakit.

Ahad, 10 Julai 2011

Tema dan Persoalan Novel "Di Sebalik Wajah"

TEMA

Novel ini bertemakan ketabahan seorang remaja menghadapi dugaan dan kekurangan diri dalam kehidupan seharian.

Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar, terpaksa berhadapan dengan ejekan, sindiran dan cemuhan daripada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Dia juga dibuli dan dianiaya oleh Narius, Jais dan Jamadi. Kawan-kawan baiknya juga telah memulaukannya sewaktu dia difitnah mencuri buku-buku di perpustakaan dan dompet pelajar lain. Hanya Josy sahaja yang terus setia untuk berkawan dengan Doktor Farid sewaktu dia dalam kesusahan.


PERSOALAN

1. Persoalan semangat setiakawan
Contoh: Josy tetap berkawan dengan Doktor Fikri walau apa-apa jua rintangan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

2. Persoalan Kasih sayang sesama ahli keluarga
Contoh: Cikgu Saiful dan Puan Halipah memberikan sepenuh kasih sayang kepada Doktor Fikri walaupun dia dilahirkan dalam serba kekurangan.

3. Persoalan reda menerima ketentuan Allah
Contoh: Cikgu saiful dan Puan Halipah reda dan pasrah menerima takdir Tuhan apabila anak yang dilahirkan cacat iaitu balar kulitnya.

4.Persoalan rajin membaca
Contoh: Doktor Fikri sentiasa mengisi masa lapangnya dengan membaca dan kerap pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku.

5.Persoalan menghargai persahabatan
Contoh: Josy tetap berkawan dengan Doktor Fikri walau apa jua rintangan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

6.Persoalan keinsafan
Contoh: Narius, Jais dan Jamadi berubah sikap dan insaf atas kesalahan mereka terhadap Doktor Farid, lebih-lebih lagi setelah Doktor Farid menyuruh bapanya menjamin Narius di balai polis.

7.Persoalan aplikasi Ilmu
Contoh: Doktor Farid mengaplikasi pengetahuan menanam sayur-sayuran, memelihara ayam dan menjualnya di Tamu daripada mata pelajaran Kemahiran Hidup yang dipelajarinya.

8.Persoalan kemahiran menguasai ilmu elektronik
Contoh: Kemahiran menguasai ilmu elektronik perlu diterapkan pada peringkat awal pendidikan lagi seperti yang dijalankan di Jepun bagi memastikan remaja lebih ke arah inovasi.

9.Persoalan berdikari
Contoh: Doktor Farid berusaha sendiri untuk mencapai cita-cita yang diinginkannya walaupun mendapat tentangan awal daripada ayahnya. Doktor Fikri berjaya mengusahakan kebun sayur dan membela ayam.

10.Persoalan taat akan perintah agama
Contoh: Cikgu Saiful dan keluarganya sering sembahyang bersama-sama di rumah.

Sinopsis Novel "Di Sebalik Wajah"

Cerita Di Sebalik Wajah mengisahkan seorang remaja iaitu Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar. Nama Doktor Fikri diberikan oleh bapanya sempena nama seorang doktor yang telah mendoakan keselamatan ibunya sewaktu melahirkannya. Disebabkan nama dan kecacatan kulitnya yang balar Doktor Fikri sering diejek dan diketawakan. Namun begitu, dia tabah menerima segala dugaan yang menimpa dirinya. Pertukaran ke sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal banyak memberikan pengalaman baharu kepadanya. Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz dapat menerima kehadirannya di sekolah itu. Mereka berkawan baik sehinggalah Doktor Fikri dianiaya oleh tiga orang murid iaitu Narius, Jais dan Jamadi yang juga sering mengganggu murid lain.

Satu laporan salah laku mereka telah dibuat kepada guru disiplin iaitu Cikgu Wahab. Hal ini menyebabkan mereka berdendam kepada Doktor Fikri. Narius dan kawan-kawannya meletakkan buku-buku perpustakaan dan beberapa dompet ke dalam beg sekolah Doktor Fikri. Guru disiplin telah membuat pemeriksaan mengejut ke setiap kelas. Doktor Fikri telah dipanggil dan disoal siasat namun dia hanya mendiamkan diri. Selepas kejadian tersebut, kawan-kawannya mula menjauhkan diri kecuali Josy yang masih setia memberikan perangsang dan semangat serta memintanya bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Semasa sukan tahunan sekolah, Doktor Fikri gagal menamatkan larian 1500 meter dan pengsan. Dia juga kehilangan basikal yang baru dibeli dengan duit simpanannya sendiri. Pada suatu hari seorang murid mengadu kepada Cikgu Wahab bahawa dia ternampak Narius dan rakan-rakannya mencuri basikal doktor Fikri. Hal ini dilaporkan ke balai polis. Narius dan rakan-rakannya ditangkap atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Mereka ditahan di lokap. Jais dan Jamadi dijamin oleh keluarga masing-masing. Narius tidak dapat dibebaskan kerana keluarganya miskin. Doktor Fikri dan bapanya dipanggil untuk mengambil semula basikalnya. Semasa di balai polis, Doktor Fikri ternampak Narius sedang menangis di samping bapanya yang sudah uzur. Doktor Fikri meminta ayahnya menjamin Narius.

Semenjak hari itu, Narius, Jais dan Jamadi insaf dan berubah menjadi baik. Mereka mengaku kepada murid lain bahawa merekalah yang menganiaya Doktor Fikri. Namun, pada masa yang sama, Doktor Fikri berhijrah ke Jepun kerana bapanya bertugas di sana. Setelah setahun, Doktor Fikri dan keluarganya balik bercuti di Malaysia. Kepulangan Doktor Fikri disambut dengan gembira oleh rakan-rakannya. Keluarga Doktor Fikri mengisi cuti mereka dengan bersama-sama mendaki puncak Gunung Kinabalu seperti yang dihasratkan oleh Doktor Fikri.

Contoh soalan & Jawapan bagi Tema dan Persoalan Novel "Di Sebalik Wajah"

Sekiranya pelajar ditanya tentang tema dan persoalan.. contohnya.."huraikan tema dan dan dua persoalan berdasarkan novel yang anda pelajari"

Di sini, cikgu sertakan contoh jawapan yang boleh pelajar gunakan sebagai panduan.


Novel yang telah saya pelajari ialah novel "Di Sebalik Wajah" karya Abang Saifuddin Abang Bohari.Dalam novel ini,terdapat tema dan beberapa persoalan yang telah diketengahkan oleh pengarang.

Novel ini bertemakan ketabahan dan kecekalan seorang remaja balar menghadapi cabaran dalam kehidupan. Dalam hal ini Doktor Fikri begitu cekal dan tabah menghadapi ejekan daripada pelajar lain sama ada di sekolah lama atau baru. Doktor Fikri juga cekal ketika berhadapan dengan tuduhan bahawa dia seorang pencuri sehingga peristiwa itu menyebabkannya kehilangan kawan-kawan. Selain itu, Doktor Fikri tabah dan cekal apabila dia sering ditertawakan dan dipandang rendah oleh para pelajar hanya kerana dia tidak sempurna seperti orang lain. Dengan ketabahan dan kecekalannya itu, akhirnya dia berjaya memenangi hati kawan-kawan dan dia tidak lagi hidup keseorangan.

Antara persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan tentang kasih sayang dalam keluarga. Contohnya, Puan Halipah dan Cikgu Saiful amat menyayangi anak mereka iaitu Doktor Fikri. Cikgu Saiful misalnya cuba memenuhi setiap permintaan Doktor Fikri kerana tidak mahu anaknya berasa rendah diri dengan kekurangannya. Sebagai buktinya, walaupun Cikgu Saiful tidak setuju dengan cadangan Doktor Fikri untuk menanam dan berjual sayur, namun akhirnya dia akur dengan kehendak anak tunggalnya itu. Cikgu Saiful sanggup menebalkan telinga dan menahan malu dengan rakan-rakan sepejabatnya demi kasih sayang ayah terhadap anaknya.

Persoalan yang seterusnya ialah persoalan tentang kebijaksanaan memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah. Doktor Fikri bijak menggunakan masa dengan melakukan pelbagai aktiviti berfaedah. Dia menjadikan buku, majalah, novel dan pelbagai bahan bacaan sebagai temannya. Selain itu, dia turut menggunakan masa lapang dengan bertanam sayur dan menternak ayam. Hasil daripada hobinya, Doktor Fikri memperoleh pendapatan daripada jualan sayur-sayuran.

Pengajaran dalam Novel "Di Sebalik Wajah"

Berdasarkan novel Di Sebalik Wajah, pengajarannya ialah :

kita harus tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Contohnya sebagai anak balar yang cacat dari segi kulit, Doktor Fikri sentiasa tabah dan sabar ketika diejek, disindir malah dianiaya oleh murid lain.

Pengajaran yang seterusnya ialah kita harus sedia memaafkan kesalahan orang lain. Contohnya Doktor Fikri sedia memaafkan Narius yang pernah memeras ugut terhadap malah meminta ayahnya membantu Narius keluar dari lokap polis dengan membayar wang ikat jamin.

Selain itu, kita perlu rajin untuk mengusahakan sesuatu kerja. Contohnya Doktor Fikri mengerjakan kebun sayur-sayurannya di belakang rumah pada setiap petang. Dia sanggup mengutip najis lembu sebagai baja. Selain itu dia juga menjualkan hasil tanaman di tamu.

Bukan itu sahaja, terdapat pengajaran tentang kita perlu bertanggungjawab terhadap kerjaya kita. Misalnya kakitangan Hospital Ratu Elizabelt dapat menjalankan tugas dengan baik.

Di samping itu, kita perlu berjimat cermat dalam kehidupan kita. Doktor Fikri sentiasa berjimat cermat dan membawa bekalan ibu ke sekolah tanpa berbelanja di kantin. Wang simpanan mencapai seribu ringgit di bank. Dia dapat membeli basikal barunya dengan wang simpanan sendiri.

Tambahan pula, terdapat pengajaran kita harus hormat dan taat kepada ibu bapa. Contohnya, Doktor Fikri sentiasa mematuhi perintah ibu bapanya. Dia juga meminta kebenaran ibu bapanya dahulu sebelum bertindak, seperti membeli basikal dengan wang simpanan sendiri.

Pengajaran lain ialah ibu bapa harus mengambil berat pelajaran anak mereka. Contohnya ketika Doktor Fikri, ibunya Puan Halipah pasti akan memeriksa buku latihan dan bertanya tentang pelajarannya di sekolah.

Terdapat pengajaran tentang ibu bapa harus menerima kelahiran anak yang tidak sempurna dari segi fizikal. Tamsilnya pada mula Cikgu Saiful sukar menerima bayinya agak berbeza dengan bayi yang lain, anaknya ialah anak balar. Bagaimanapun atas nasihat doktor, dia telah menyesal atas sikapnya dan sedia menerima bayi yang cacat dari segi kulit.

Nilai dalam Novel "Di Sebalik Wajah"

Rajin
Salah satu nilai dalam novel ini adalah rajin. Watak utama Doktor Fikri merupakan seorang budak yang rajin. Dia sanggup menanam sayur-sayuran dan menjual hasilan tanaman di tamu. Dia juga tekun membaca buku.

kasih sayang
Kasih sayang jelas terpapar dalam watak Cikgu Saiful dan Puan Halipah. Mereka sangat sayang akan anak kandung mereka dan sentiasa memenuhi kehendak anak kesayangan. Sebagai contoh, Cikgu Saiful sanggup menemani anak mengutip najis lembu sebagai baja sayur-sayuran ketika diminta oleh anak mereka.

Tabah
Doktor Fikri merupakan seorang pelajar yang tabah. Dia sabar menghadapi layanan rakannya yang telah salah faham akannya. Dia sentiasa tabah menghadapi layanan yang buruk daripada murid yang lain.

Sedia memaafkan
Doktor Fikri mengamalkan nilai sedia memaafkan dan tidak menaruh dendam terhadap orang yang pernah menganiayainya, iaitu Narius yang meletakkan barang dicurinya ke dalam beg Doktor Fikri. Doktor Fikri bukan memaafkan Narius malah meminta ayahnya mengikat jamin terhadap Narius kerana terlibat dalam kes kecurian.

Simpati
Doktor Fikri bersikap simpati terhadap nasib Narius, iaitu keluarganya miskin, bapanya sudah tua dan tidak mampu mengikat jaminnya keluar dari lokap. Doktor Fikri segera meminta ayahnya menghulurkan bantuan.

Bertanggungjawab
Kakitangan perubatan di Hospital Ratu Elizabelt menjalankan tugas dengan bertanggungjawab. Mereka melayani keluarga pesakit dengan mesra. Hal ini terpapar oleh jururawat Cina yang membenarkan Cikgu Saiful mengucapkan nazar kepada anaknya yang dilahirkan. Doktor yang berketurunan India juga menjalankan tugas dengan amanah. Selain itu pengetua SMK Menggatal sanggup merotan pelajar yang terlibat dalam kes peras ugut di dewan sekolah. Cikgu Wahab juga melaksanakan tugasnya sebagai guru disiplin dengan tegasnya.

Berjimat cermat
Doktor Fikri sentiasa berjimat cermat. Dia sentiasa membawa bekalan emaknya ke sekolah daripada berbelanja di kantin untuk menjimatkan wang.

Alim
Doktor Fikri di Hospital Ratu Elizabelt merupakan seorang yang alim dan bersopan santun. Ketika melihat Cikgu Saiful dalam keadaan yang gelisah, dia turut mengajak Cikgu Saiful menjalankan solat sembahyang di bilik surau di hospital tersebut. Sikapnya yang mulia turut menyebabkan Cikgu Saiful hendak menamai anak lelakinya sebagai “Doktor Fikri”.

Gigih
Nilai gigih juga terdapat dalam Doktor Fikri. Ketika menyertai acara lumba lari 1500 lelaki B, dia tidak berputus asa walaupun lututnya sakit dan berasa sukar bernafas. Bagaimanapun dia jatuh pengsan ketika mendekati garis penamat.

Selain itu ketika mendaki Gunung Kinabalu, Doktor Fikri dan ibu bapanya tidak berpatah semangat untuk meneruskan pendakian walaupun berasa penat, sejuk, susah bernafas serta kaki yang sakit.

Latar Tempat Novel "Di Sebalik Wajah"

Hospital Ratu Elizabelt, Kota Kinabalu
Peristiwa yang berlaku di latar tempat ini ialah Cikgu Saiful berasa cemas ketika berada di luar bilik bersalin. Dia berdoa agar anak dan isteri akan selamat setelah agak lama isteri dihantar ke dalam bilik bersalin. Di situ, dia bertemu dengan seorang doktor Melayu yang bernama Doktor Fikri yang berbudi bahasa dan alim sehingga dia berhasrat untuk menamai anak yang bakal dilahirkan itu sebagai “Doktor Fikri”. Yang terpenting ialah anak Cikgu Saiful dan Puan Halipah telah melahirkan seorang anak balar di hospital itu. Penulis itu menggambarkan satu latar masyarakat dalam latar tempat ini, iaitu masyarakat yang berbilang bangsa, iaitu doktor yang berketurunan India, Melayu dan jururawat yang berbangsa Cina.

Rumah Doktor Fikri
Rumah Doktor Fikri terletak di 69, Taman Richdar, Menggatal, iaitu sebuah rumah yang berdua tingkat. Rakan sekolah telah mengunjungi rumahnya dan disambut mesra oleh Puan Halipah di ruang tamu. Di bilik bacaan, mereka ternampak banyak buku yang ada di dalam rak. Mereka juga meminjam buku daripada Doktor Fikir. Di belakang rumah Doktor Fikri, dia menanam pelbagai jenis sayur seperti sawi, kacang bendi, tomato, cili dan menternak ayam. Dia telah membawa rakannya mengunjungi kebun sayurnya. Doktor Fikri sanggup mengutip tahi lembu sebagai baja tanamannya. Dia menjual hasil tanamannya di tamu dan menyimpan wang dalam bank.

Tempat yang penting dalam latar tempat ini ialah belakang rumah, bilik bacaan, ruang tamu, dapur.


Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
SMK Menggatal merupakan latar tempat yang terpenting dalam perkembangan plot. Di situ, Doktor Fikri menuntut pelajaran. Dia merupakan pelajar kelas Dua Mawar. Dia mendapat banyak kawan baru, iaitu Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz. Dia juga menyertai lumba lari 1500 Lelaki B sehingga jatuh pengsan dalam beberapa langkah sebelum garis penamat. Dia sering mengunjungi perpustakaan di sekolah dan suka membaca buku di situ, Bagaimanapun dia turut dianiayai oleh pelajar samseng yang membuat dakwaan bahawa dia telah mencuri pen, buku perpustakaan, dompet dan sebagainya.

Antara tempat yang penting di sekolah itu ialah kelas Dua Mawar, pagar sekolah, padang, perpustakaan, dewan, bilik kaunseling.

Tamu di Pekan Menggatal
“Tamu” merupakan pasar minggu yang lazimnya terdapat di pekan-pekan Sabah. Lazimnya penduduk peribumi, iaitu orang Dusun dan Kadazan akan membawa hasil tanaman mereka di tamu untuk dijual di samping bertemu dengan kawan.

Doktor Fikri dan lima orang rakannya telah membawa sayur-sayuran ke tamu di pekan untuk dijual. Pada awal pagi, mereka telah tiba di situ. Mereka meletakkan sayur-sayuran di atas tikar di tepi jalan untuk dijual. Ada seorang wanita telah membeli seringgit sayur sawi. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Mereka terpaksa berteduh di kaki lima kedai. Sayur-sayuran itu tidak dapat dijual. Walaupun hanya mendapat hasil jual sebanyak seringgit sahaja, Doktor Fikri masih sabar dan menasihati rakannya bahawa dalam ilmu perdagangan, untung dan rugi adalah lumrahnya.


Balai Polis Pekan Menggatal

Doktor Fikri dan ayahnya Cikgu Saiful telah ke Balai Polis Pekan Menggatal untuk mengambil balik basikal yang telah dicuri. Di situ, Doktor Fikri telah menjumpai Narius telah ditahan di dalam lokap. Narius menangis kerana ayahnya yang tua tidak mampu mengeluarkan wang untuk mengikat jaminnya keluar dari balai polis. Doktor Fikri segera merayu ayahnya untuk mengikat jamin terhadap Narius walaupun Narius pernah memeras ugutnya, mencuri basikal baharunya dan menganiayainya, iaitu sengaja memasukkan barang yang dicuri ke dalam begnya.


Lapangan Terbang Antarabansa Kota Kinabalu

Doktor Fikri dan ibu bapa balik dari Osaka, Jepun. Mereka tiba di lapangan itu dan disambut oleh rakannya,Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz. Setelah setahun berpisah, mereka gembira dapat bertemu semula.

Gunung Kinabalu
Doktor Fikri dan ibu bapanya telah menginap di sebuah chalet di Taman Negara Kinabalu. Udara di situ sungguh nyaman malah dingin dan terdapat pemandangan yang mempesonakan, iatu Gunung Kinabalu yang tinggi dan tersergam serta kaya dengan flora yang unik. Ketika tiba di tengah lereng gunung itu, iaitu Panalaban, mereka bermalam di situ dan akan meneruskan pendakian gunung pada keesokan subuh pagi. Bagaimanapun pada malam itu, Doktor Fikri bermimpi dan mengigau sehingga terjatuh dari katil.