Ahad, 10 Julai 2011

Perkembangan Plot Novel "Di Sebalik Wajah"

Permulaan

Dalam bahagian permulaan, Cikgu Saiful kelihatan cemas ketika menunggu kelahiran anak di luar bilik salin Hospital Ratu Elizabelt. Dia mengimbas kembali tentang peristiwa isterinya mengidamkan daging rusa dan dia terpaksa berbohong kepada isterinya bahawa sup daging arnab yang dibelinya ialah daging rusa. Ketika bersembahyang di bilik surau hospital, dia bertemu dengan seorang doktor Melayu yang bersikap sopan dan mulia. Oleh itu Cikgu Saiful ingin menamai anak yang bakal lahir itu sama dengan doktor itu, iaitu Doktor Fikri. Kemudian, Cikgu Saiful tidak dapat menerima anaknya dilahirkan balar. Bagaimanapun atas nasihat doktor dan jururawat, Cikgu Saiful baru sedar dan sebagai seorang penganut Islam, dia perlu reda atas segala takdir Tuhan. Akhirnya Cikgu Saiful dan isterinya Puan Halipah reda menerima anak mereka yang cacat dari segi kulit.



Perkembangan

Dalam bahagian perkembangan plot, ketika berumur 14 tahun, Doktor Fikri terpaksa dipindahkan ke sekolah baru, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal kerana bapanya telah berhenti sebagai guru dan bekerja di Pekan Menggatal. Ketika belajar di kelas Tingkatan Dua Mawar, Doktor Fikri tabah menerima kerenah rakan sekelasnya. Dia sentiasa membaca pada masa lapang. Dia telah berkawan dengan Josy, Suriani, Dayang Mahani, Sanin dan Aziz. Mereka kagum akan sikap Doktor Fikri yang rajin membaca, sanggup menanam sayur-sayuran dan menternak ayam di belakang rumah serta menjual sayur-sayur di tamu pada pagi hari Ahad.

Seterusnya wujudlah konflik antara Doktor Fikri dengan Narius dan kawan-kawannya, iaitu pelajar Tingkatan Empat. Narius dan kawannya telah memeras ugut supaya membayar wang keselamatan kepada mereka. Setelah dilaporkan rakan Doktor Fikri, pihak sekolah telah bertindak tegas terhadap Narius dan rakan-rakannya dengan merotan di dewan secara terbuka. Setelah itu Naruis dan rakan telah menganiayai Doktor Fikri dengan meletakkan buku-buku perpustakaan dan barang-barang pelajar lain di dalam beg sekolah Doktor Fikri. Ketika disiasat oleh Cikgu Wahad, Doktor didakwa sebagai pencuri.

Konflik yang seterusnya ialah Doktor Fikri dengan kawan-kawan baiknya kecuali Josy. Setelah didakwa sebagai pencuri, rakan-rakan sekelas Doktor Fikri mula memulaukannya. Mereka bukan sahaja mengejek malah enggan bermain atau berbual dengannya. Dia berasa kecewa dan kesunyian.



Perumitan

Pada hari sukan, Doktor Fikri telah menyertai lumba lari 1500 meter. Dia gigih berlari tanpa sokongan rakannya. Sebelum garis tamat, dia jatuh pengsan. Setelah terjaga, ibu bapanya hendak menghantarnya balik dan mendapati bahawa basikal barunya telah dicuri orang.

Rakan-rakannya tetap memulaukannya dan tidak bersimpati tentang kecurian basikalnya. Doktor Fikri bertambah kekecewaan kerana Josy akan berpindah ke sekolah lain.



Puncak

Dalam bahagian puncak perkembangan plot, Doktor Fikri diberitahu oleh Cikgu Wahad bahawa pelajar yang mencuri basikalnya telah ditangkap oleh polis. Mereka ialah Narius dan rakan-rakannya. Mereka juga mengakui bahawa merekalah yang menganiayai Doktor Fikri sebagai pencuri. Ketika di balai polis, Doktor Fikri bersimpati terhadap Narius dan meminta ayahnya menjamin Narius keluar dari lokap. Narius meminta maaf dan berterima kasih kepada Doktor Fikri dan ayahnya. Beberapa hari kemudian, seluruh kelas Tingkatan Dua Mawar tergempar kerana Doktor Fikri telah berpindah ke Jepun dan mereka turut diberitahu oleh Narius bahawa Doktor Fikri tidak pernah mencuri tetapi dianiayai oleh mereka. Rakan-rakan Doktor Fikri berasa sedih atas perbuatan mereka terhadap Doktor Fikri dan kemuliaan hatinya.



Peleraian

Dalam bahagian peleraian cerita, setelah satu tahun, Doktor Fikri dan ibu bapanya balik bercuti di Sabah. Rakan-rakan baiknya menyambut kepulangannya di lapangan terbang. Hubungan mereka bertambah mesra. Setelah itu, atas permintaan Doktor Fikri, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Novel ini diakhiri dengan ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan